Oleh Wan Am
Mengikut satu laporan, sejak tahun kemerdekaan kadar kemiskinan di Malaysia telah dapat dikurangkan daripada 50 peratus kepada 3.6 peratus (berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] atau Poverty Line Income [PLI] yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM750.00) pada 2007. Pencapaian yang disifatkan sebagai 'luar biasa' ini diakui oleh pertubuhan antarabangsa, hinggakan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang telah berjaya mengatasi penandarasan kemiskinan 8.25 peratus seperti yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme (UNDP) di bawah Millennium Development Goals bagi tahun 2015. Nampaknya hal ini jualah yang menjadi modal kepada para pemimpin tertentu untuk dicanangkan kepada rakyat bahawa negara kita berjaya dalam matlamatnya untuk membasmi kemiskinan.
Melalui artikel ini tidaklah saya berniat untuk mengiyakan mahupun mempertikai kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Malaysia ini. Dari sudut positif, sememangnya kita bersyukur atas nikmat keamanan, pembangunan dan kemajuan yang sedang kita kecapi pada hari ini, memandangkan perkara-perkara tersebut adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam dan menjadi satu keperluan hidup yang semestinya dihargai oleh kita semua. Malah dengan keamanan dan kemajuanlah usaha negara ke arah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan akan lebih mudah untuk direalisasikan.
Namun, di sebalik semua itu, kita juga merasa sedih dan gusar kerana di negara Malaysia yang telah lebih setengah abad merdeka ini masih ada warganya yang hidup melarat dan diselubungi penderitaan yang tiada kesudahan. Beleklah dalam akhbar-akhbar arus perdana tempatan, kerapkali disiarkan cerita kesengsaraan golongan fakir miskin dan orang kurang upaya yang seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya memelihara kebajikan mereka. Kemudian cubalah tonton rancangan "Bersamamu" terbitan TV3, anda pasti akan berhadapan dengan realiti hidup masyarakat yang cukup menginsafkan. Justeru, bagi kita yang diberikan sedikit kenikmatan dan kelebihan, perhatikanlah insan-insan di sekitar kita, kerana masih ada dalam kalangan mereka yang wajib dibantu.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Allah s.w.t. sentiasa melorongkan peluang yang banyak untuk kita beramal salih. Seorang yang mempunyai kelebihan harta pula akan lebih mudah untuk melakukan sesuatu amal salih, antaranya dengan melaksanakan amalan bersedekah, yakni membantu mereka yang dalam kesulitan dan kemiskinan semata-mata kerana Allah. Pada kesempatan ini izinkan saya memperihalkan serba ringkas mengenai sedekah; definisi, fadilat serta manfaatnya kepada masyarakat.
Perkataan sedekah berasal daripada bahasa Arab iaitu 'sadaqah', bermaksud sesuatu yang diberikan. Dari segi istilah, sedekah bererti pemberian yang tujuannya adalah mengharapkan pahala daripada Allah. Ahmad 'Athiyatullah dalam bukunya "al-Qamus al-Islami" telah menyatakan, "Sedekah adalah segala sesuatu yang diberikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa wujud perasaan kesal ataupun benci." Begitu juga Imam al-Nawawi dalam kitabnya “Syarah Imam Muslim” menyebut, “Diberi nama sedekah kerana ia merupakan bukti di atas kebenaran iman seseorang yang menunaikannya, sama ada secara zahir mahupun batin. Ia merupakan amal yang menjadi bukti akan kebenaran iman seseorang.”
Kata sedekah juga diambil daripada kata 'sadaqa' atau as-sidqu' yang bermaksud benar atau jujur dalam perkataan dan perbuatan. Sedekah diperintahkan kerana amalan ini membuktikan seseorang hamba itu benar-benar menjadikan hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Dalam hal ini Allah berfirman:
"Wahai orang yang beriman, sedekahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik..." (al-Baqarah : 267)
Setiap amal perbuatan yang diperintahkan Allah untuk dikerjakan oleh setiap Muslim pasti ada ganjarannya, bukan setakat di dunia malah juga di akhirat. Begitu jugalah dengan sedekah. Amalan bersedekah mempunyai banyak fadilat (keutamaan) dan kelebihan kepada para pelakunya, sepertimana yang diterangkan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Hasan bin Ahmad Hasan Umam dalam buku karangannya "al-Tadawi bi al-Shadaqah" (Berubat Dengan Sedekah) telah menyenaraikan keutamaan-keutamaan sedekah seperti berikut:
1. Sedekah sebagai pembersih dan pensuci hati
Firman Allah:
"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (at-Taubah : 103)
2. Sedekah memenuhi perintah Allah dan rasul-Nya
Firman Allah:
"Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan)." (Ibrahim : 31)
3. Dengan bersedekah orang mukmin mendapat perlindungan pada hari kiamat
Uqbah bin Amir r.a. meriwayatkan dalam sebuah hadis, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Setiap orang akan mendapatkan naungan dari sedekahnya, sehingga diputuskan perkara bagi setiap manusia." (Riwayat Ibnu Khuzaimah dengan isnad sahih menurut Imam Muslim)
4. Sedekah melindungi diri daripada bahaya dan musibah serta menolak su'ul khatimah (kematian yang buruk)
Abu Umamah r.a. berkata, Rasulullah bersabda:
"Perbuatan baik akan menjaga (diri) daripada kematian yang buruk, sedekah secara sembunyi-sembunyi akan memadamkan kemarahan Tuhan dan silaturahim akan memanjangkan umur." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Sedekah merupakan bukti kebenaran iman
Sabda Nabi s.a.w.:
"...Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti (di atas kebenaran keimanan), sabar adalah penerang dan al-Quran adalah dalil bagi kamu..." (Riwayat Muslim)
6. Sedekah menyelamatkan seorang Muslim daripada belenggu hati
Ada hadis daripada Nabi s.a.w. tentang Nabi Yahya a.s.:
"Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu ke lehernya. Maka berkatalah (sedekah): 'Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.'" (Riwayat a-Tirmizi)
7. Allah Taala akan menggantikan harta orang yang bersedekah
Firman Allah:
"Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.’" (Saba : 39)
8. Pahala sedekah sentiasa mengalir kepada orang yang bersedekah, walaupun selepas dia meninggal dunia
Nabi s.a.w. bersabda:
"Apabila anak Adam (manusia) telah meninggal dunia, maka putuslah segala amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak salih yang mendoakan kepadanya." (Riwayat Muslim)
9. Sedekah menghapus kesalahan (dosa)
Muadz bin Jabal r.a. meriwayatkan dalam perkataannya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api." (Riwayat at-Tirmizi)
Amalan bersedekah juga bukan sekadar memberikan kebaikan kepada seseorang individu yang melaksanakannya, malah turut memberikan banyak manfaat dalam kehidupan bermasyarakat. Seperti yang dinukilkan oleh Ibrahim Muhammad al-Dhabi'i dalam bukunya "Al-Sadaqat wa Atharuha 'ala al-Fard wa al-Mujtama'", antara manfaat sedekah kepada masyarakat ialah:
1. Sebagai salah satu penyelesaian dalam menangani masalah kemiskinan.
2. Menghilangkan dendam orang miskin yang merasa haknya dirampas oleh orang-orang kaya.
3. Menghilangkan perasaan dengki orang miskin terhadap orang kaya.
4. Menghindari perbuatan jenayah.
Justeru, ayuh kita budayakan amalan bersedekah dalam kehidupan. Ingatlah, orang yang bersedekah adalah seperti orang yang menanam benih kebaikan. Buahnya akan mereka nikmati pada hari akhirat nanti hasil daripada amalan sedekah yang disuburkannya di dunia ini.

No comments:
Post a Comment