Friday 16 December 2011

Kita masih jauh lagi daripada sasaran

Jom teruskan kegigihan kita untuk mengisi Tabung Yayasan Al-Amin


Ada barang berharga yang sudah tidak digunakan lagi?

Jika anda mempunyai barang berharga yang sudah tidak digunakan lagi, okay kami JK Karnival Al-Amin 2011, akan mengadakan Jumble Sale pada 24 Dis - 26 Dis 2011 untuk kutipan Tabung Yayasan Al-Amin.


  
   
Anda akan terus mendapat ganjaran daripada Allah SWT apabila digunakan oleh orang yang memerlukan.

Untuk tempat koleksi barang-barang berharga ini, sila bawa ke 2 pusat:
1) Sek Ren Islam Al-Amin Gombak - Cikgu Normala 
2) Sek Ren Islam Al-Amin Kuala Lumpur- Cg Baizura dan Cg Hamidah (mulai 20 Dis 2011)

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Sekretariat JK Karnival Al-Amin 2011
Pn Habsah Abu Bakar
Tel: +603-61889873        
Faks: +603-61878126          

Thursday 15 December 2011

Budak Baju Biru.

Jika sebelum ini aku rasa pelik kerana sebuah rumah banglo di jadikan sekolah, perasaan hairan itu bertambah bila melihat pelajarnya berseluar biru-hitam dan berbaju kurung biru muda, lengkap dengan tudung dari warna yang sama....manakala pelajar lelakinya berbaju biru muda dan berseluar biru hitam...kalau sekarang ni, biru macam warna bendera keAdilan...:))

Sekolah di K.l ni kan berlambak...buat apa nak buat sekolah baru pula....ish...tak faham lah...

Rasa hairan bin ajaib tu tak lama bersarang di hatiku.Sebaik saja memahami tentang pendidikan islam, sekular, suasana solehah.....hmmm.....perasaan ku makin tenang dengan kerjaya baru ini....Jadi malas pula nak isi borang-borang kerja dari jabatan kerajaan dan swasta yang lain......

Baca doa sebelum makan, doa sebelum mula belajar, doa setiap kali tamat pelajaran,bercakap dengan ayat yang baik, solat berjemaah di waktu Zohor, sentiasa memberi salam.....semuanya agak penat namun menyeronokkan......

"I've found my luv here..."macam tak percaya aku boleh meluahkan kata-kata itu pada beberapa orang teman dari IPTA yang sama.Walaupun ketika itu gajiku amat kecil , muamalah yang ku lakukan bersama budak-budak baju biru itu amat kuat daya tarikannya untuk ku terus berada disekolah yang pelik ini....

"Kami hanya mengharapkan gaji dari Allah" ujar En "A", salah seorang Ahli Lembaga Pengarah  sekolah itu yang sering dilihat berada di sekolah itu, terutamanya hari Sabtu dan Ahad.....
Wah!!!! Dahsyatnya mereka ni....sanggup buat kerja bagai nak rak..."just for free..".....

Semua penemuan baru itu memang amat pelik..namun aku amat menyukainya.Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan suasana kampung, kemudian belajar disebuah sekolah elit Kristian di kota metropolitan yang sedang pesat berkembang, sekolah "pelik" itu banyak memberi ruang dan peluang padaku untuk menambahkan pengetahuan tentang keindahan Islam dan peranan ku sebagai seorang manusia yang sepatutnya membawa rahmat pada insan lain...

Ahhhhh....budak-budak baju biru....you are really special......

Inikah keistimewaan Al Amin?.....ada banyak lagi.....

Monday 12 December 2011

Sekolah yang "pelik".....

"Laila buat apa sekarang ?"tanya seorang wanita manis berkacamata .Agak tebal kacamata yang dipakainya.
"Masih menganggur..." terus terang dan jelas.
"Jadi pembantu rumah...nak tak? " ujarnya." Buat sementara je...sebelum dapat kerja yang sepatutnya..." tambah wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Kak N.
"Ohhh...ok gak..." tanpa berfikir panjang, aku terus membri jawapan.
Ternyata tak rugi kerja dengan Kak N.Beliau dan suami masing-masing berkerjaya.Cuma ada seorang anak, berusia dua tahun.
Hmmm...nak buat ape kat rumah dia ni....rumah dua tingkat  itu begitu kemas, anak pun cuma sorang jer...kan elok dia hantar anak ke nurseri je...
Ehhh...pandai-pandai pulak aku nak menyusun perancangan "bos" baru ku....
"Laila cuma masak untuk makan sendiri dan tolong jaga  "R" ya...." kata Kak N lagi.(R ialah anak perempuan@anak tunggal Kak N)

Aku  bertugas sebagai "maid" Kak N selama tiga bulan saja....

"Ada sebuah sekolah  di Keramat, perlukan cikgu...Laila minat tak ngajar?" tanya Kak Nab.
"Ohhh ye ke? Boleh gak cuba ngajar..." ujarku sambil tersengih.
"Kena interview ke?" tanya Kak N pada teman rapatnya, Dr N yang menjadi "orang kuat di sekolah itu.
"Sebagai prosedur, kena lah jugak...." kata Dr N selamba.

Dan seminggu selepas perbualan itu, aku dapati diriku telah menjadi salah seorang guru di sekolah yang "pelik" itu.......

Kenapa pelik? akan bersambung....

Friday 18 November 2011

Menyumbanglah demi generasi salih wa muslih dalam Majlis Hi-Tea Amal - 15 Oktober 2011

Sumbangan yang memberansangkan daripada kalangan ibu-bapa yang kini dan terdahulu sungguh mengharukan. InsyaAllah majlis ini akan terus memberi kebarakahan kepada semua warga PPAA.

Antara foto-foto pada majlis tersebut:








































Lihat foto lagi di: sini

Thursday 17 November 2011

Karnival Al-Amin 2011


Satu acara gemilang yang menggabungkan kesemua sekolah di bawah PPAA sempena menyambut 25 tahun Pusat Pendidikan Al-Amin akan diadakan pada 24 sehingga 26 Disember 2011.  Pelbagai acara akan dilaksanakan bersama-sama dengan jualan buku dan pakaian sekolah bagi tahun persekolahan 2012. Program berkonsepkan kekeluargaan dan kemasyarakatan dengan sasaran utama adalah keluarga /murid/ pelajar Al-Amin dan juga terbuka kepada umum.

Objektif:
a)            Sempena sambutan 25 tahun PPAA
b)            Menambah kutipan bagi Tabung Yayasan Al-Amin
c)            Sempena jualan buku dan pakaian sekolah
d)            Mempereratkan hubungan warga PPAA

Tarikh: 24 Dis – 26 Dis 2011

Tema: Teruskan permuafakatan demi generasi salih wa muslih

Tempat: Semua sekolah – SMIAAG, SRIAAG, SRIAAKL dan SRIAAWP

Aktiviti Utama:

  •  Sewa Tapak Jualan – bertujuan untuk promosi dan jualan, antaranya ialah kereta, motosikal, basikal, pakaian, buku, produk kesihatan dan telekomunikasi
  • Kaunseling untuk lepasan SPM dan sewa booth untuk kolej/IPT
  • Showcase Pertubuhan IKRAM Malaysia
  • Pertandingan aktiviti sukan terpilih dan permainan ‘indoor’
  • Makan Malam Amal disertai majlis anugerah dan pelancaran buku sambutan 25 tahun (coffee table)
  • Wacana dan talk show
  • Pertandingan Perbahasan, Pidato, Sajak dll
  • Pertandingan Bakat Kecil
  • Pameran Sekolah
  • Jualan Buku dan Pakaian Sekolah


Penganjur Utama: Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan Al-Amin
Penganjur Bersama: SMIAAG, SRIAAG, SRIAAKL dan SRIAAWP, Persatuan Bekas Pelajar Al-Amin (OASIS)
Disokong oleh: PIBG (SMIAAG, SRIAAG, SRIAAKL), IKRAM Gombak dan IKRAM Ampang Jaya

Maklumat lanjut akan diumumkan nanti.

Tuesday 4 October 2011

Majlis Hi-Tea Amal Tabung Yayasan Al-Amin: Menyumbanglah demi Generasi Salih wa Muslih

Meja dan kerusi masih banyak lagi untuk diberi sumbangan. Jom sumbanglah ke Majlis Hi-Tea Amal Tabung Yayasan Al-Amin.


Sila klik di sini untuk Borang Jawapan Sumbangan Majlis Hi-Tea

Sila respon sebelum/pada 10 Oktober 2011

Tabung Yayasan Al-Amin


PPAA mampu terus beroperasi dan menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang dengan pengorbanan daripada pelbagai pihak terutamanya:
  • Guru dan staf menerima ganjaran di bawah pasaran

Guru dan staf PPAA mempunyai komitmen yang tinggi dalam mendidik anak-anak di sekolah. Jika dibandingkan dengan bentuk ganjaran yang diperolehi oleh rakan sekerja dalam perkhidmatan kerajaan, pakej ganjaran yang mereka nikmati di PPAA adalah jauh lebih rendah.

  • Ibu bapa sukarelawan dan dermawan

Peranan yang dimainkan oleh ibu-bapa secara sukarela ini amat besar maknanya dalam menjayakan sistem pendidikan bersepadu ini. Tidak mungkin guru mampu memberi tunjuk ajar kesemuanya kepada pelajar tanpa penglibatan ibu bapa.  Selain dari menjadi sukarelawan dalam pelbagai aktiviti sekolah, ibu-bapa juga menjadi antara penyumbang utama keperluan kewangan sekolah. Banyak pembiayaan program kokurikulum dan juga penyelenggaraan fasiliti sekolah dibiayai oleh ibu bapa.

Selepas 25 tahun beroperasi, PPAA menyedari bahawa perkembangan dalam dunia pendidikan perlu disokong oleh kewangan yang mantap dan stabil. Selain daripada memastikan infrastruktur, perkhidmatan serta pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang berkualiti, sudah sampai masanya pelajar dan staf yang telah menjadi sebahagian daripada warga setia PPAA diberikan insentif yang sewajarnya. Untuk menampung hasrat ini, PPAA dengan khususnya telah mewujudkan Tabung Yayasan Al-Amin.

Dalam usaha untuk mengisi Tabung Yayasan Al-Amin, kutipan dana RM1,111,111.11 pada 11.11.11 dilancarkan. Antara tujuan kutipan sumbangan tabung ini ialah:
  • memberi pembiayaan kepada pelajar yang diuji Allah
  • membantu pelajar cemerlang tetapi kurang mampu 
  • meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah secara amnya.
  • membantu kebajikan guru dan staf PPAA


Daripada pengalaman yang lepas, beberapa sumbangan yang sudah dilaksanakan ialah:
  • Pelajar yang diuji Allah

Tabung anak yatim yang telah diwujudkan pada pertengahan 2006 dimulakan dengan sumbangan individu sebanyak RM10,150, dan ditambah sebanyak RM3,000 oleh Yayasan Universiti Multimedia (YUM) pada tahun 2010. Sebanyak RM12,540.70 telah disumbangkan kepada pelajar-pelajar yang kematian ibu-bapa atau penjaga serta mereka yang diuji Allah dengan ketidakmampuan untuk membayar yuran persekolahan. Sumbangan pertama bermula semasa majlis eidulfitri tahun 2007. Baki terkini adalah RM 609.30 (pada 1 April 2011)

  • Pemberian diskaun yuran bagi pelajar cemerlang lepasan PMR

Pelajar yang mendapat keputusan 9A dalam PMR telah mendapat diskaun dalam yuran persekolahan bagi Tingkatan 4 dan 5 di SMIAAG. Setakat ini sejumlah RM145,440 telah dibelanjakan untuk diskaun yuran pelajar cemerlang  dari tahun 2007 sehingga 2010.

Oleh itu, kami menyeru para dermawan untuk terus memberi sumbangan anda dengan menggunakan borang yg disediakan untuk tabung ini. Menyumbanglah demi generasi salih wa muslih.

==================Borang Sumbangan================================
Borang Sumbangan untuk Tabung Yayasan Al-Amin bagi kutipan dana RM1,111,111.11 pada 11.11.11

Saya ………………………………………………………………… bersetuju untuk memberi sumbangan kepada Tabung Yayasan ‘Al-Amin’ secara:

 
 sekaligus dengan tunai/ kad kredit/ cek/ pindahan wang bernombor .................................../lain-lain sebanyak RM………………………….

 
 ansuran dengan tunai/kad kredit/cek bernombor ................................./lain-lain sebanyak RM…………………. selama ………… bulan bermula  …………… hingga …………….

Maklumat Bank:

No akaun: 14162010002551
Nama akaun: Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad
Bank: BIMB Cawangan UIA
@
No. akaun: 5622 0961 8255
Nama akaun: Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad
Bank: Maybank Islamic Cawangan Melawati

Sila hantar slip bank beserta nama pemberi sumbangan dan no. telefon untuk tujuan pemantauan rekod sumbangan:

Faks: +603 61878126
UP: Puan Wan Faridah Wan Abas




Tuesday 20 September 2011

Majlis Hi-Tea Amal Tabung Yayasan Al-Amin: Menyumbanglah demi Generasi Salih wa Muslih


Satu lagi inisiatif PPAAB dalam usaha bagi mengisi kutipan Dana RM1,111,111.11  dengan penganjuran  Majlis Hi-Tea Amal untuk mengumpulkan para penderma budiman yang sudi hadir dan menyumbang demi mencapai objektif berikut:

a) Menambah kutipan dana RM1,111,111.111 pada 11.11.11 sempena sambutan 25 tahun PPAA
b) Mempereratkan hubungan antara pihak yang berkepentingan dengan PPAA
c) Memperkasakan kebajikan para guru di PPAA yang telah berkhidmat dalam memajukan institusi Pendidikan Al-Amin

Butiran majlis adalah seperti berikut:
Tarikh: 15 Oktober 2011 (Sabtu)
Masa: 3.00 ptg – 5.30 ptg
Tempat: Dataran Al-Amin Gombak


(Tajuk: Cabaran Generasi Salih wa Muslih dalam memperkukuhkan ekonomi)


Anjuran: Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad 
dengan Kerjasama: Koperasi Pusat Pendidikan Al-Amin Selangor Bhd (KOPPAA)
dan diSokong: PIBG (SMIAA, SRIAAG dan SRIAAKL), IKRAM Gombak dan IKRAM Ampang Jaya serta Persatuan Bekas Pelajar Al-Amin (OASIS)

Tema: Menyumbanglah demi Generasi Salih wa Muslih

Penaung: Dato’ Dr. Musa bin Mohd. Nordin, Mantan Presiden FIMA (Federation of Islamic Medical Associations)

Kami memohon agar ibu-bapa boleh memberi respon dengan mengisi borang yang disediakan dan seterusnya menghantar kepada sekolah masing-masing pada atau sebelum 10 Oktober 2011. Kami mendoakan agar ibu-bapa semua akan terus diberikan rezeki dan ganjaran daripada Allah SWT.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada:  En Sharizal: 017-235641/Pn Yani: 03-61872430

“Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, maka ia (pada saat itu) akan merayu: ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau tangguhkan ajalku sebentar sahaja, supaya aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk dari orang-orang yang salih.” (Surah Al-Munafiqun, ayat 10)
==========================================================
Borang Jawapan:

Kepada:
Sekretariat Majlis Hi-Tea Amal untuk Tabung Yayasan Al-Amin
Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad

Borang Sumbangan Majlis Hi-Tea Amal untuk Tabung Yayasan  Al-Amin 

Nama:  ……………………………….…………..
Alamat: ……………………………………………..
………………………………………………
No. Tel (P) / Bimbit: ………………………
Emel: ……………………………………..
Saya bersetuju untuk memberi sumbangan kepada Majlis Hi-Tea - Tabung Yayasan Al-Amin sebanyak:
........ RM10,000.00/meja 
........  RM5,000.00/meja
........  RM3,000.00 /meja
........ RM ………………  bagi …………. Meja / Kerusi*
*(bilangan kerusi untuk setiap pakej iaitu RM1000.00/kerusi atau RM500.00/kerusi atau RM300.00/kerusi)

Kaedah sumbangan:
i) Tunai sebanyak RM  ….…………  
ii) Kad kredit sebanyak RM  ….…………
iii) Cek bernombor ................................... sebanyak RM ……..……. 

Maklumat Bank:

No akaun: 14162010002551
Nama akaun: Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad
Bank: BIMB Cawangan UIA



No akaun: 562209618255

Nama akaun: Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad
Bank: MBB Cawangan Melawati

Sila hantar slip bank beserta nama pemberi sumbangan dan no. telefon untuk tujuan pemantauan rekod sumbangan:
Emel: wanf10@yahoo.com.my atau
Faks: +603 61878126
UP: Puan Wan Faridah Wan Abas

Thursday 19 May 2011

Dialah Uswah Hasanah

Oleh Wan Am


Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., kita seharusnya berusaha memastikan segala kegiatan dan kelakuan kita seharian sesuai dengan ajaran dan akhlak baginda. Pada diri baginda, sama ada perkataan, perbuatan mahu pun cara fikir, semuanya mempunyai nilai "uswatun hasanah" atau contoh teladan yang baik yang wajar kita ikuti. Malah, uswatun hasanah yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. jugalah yang telah memastikan kejayaan usaha dakwah sepanjang hayat baginda.

Firman Allah:

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu..." (al-Ahzab : 21)

Begitu juga dalam hal bersedekah. Dikhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah insan yang sangat pemurah terhadap sesuatu yang baginda miliki. Setiap orang yang meminta kepada baginda, akan baginda berikan, sama ada banyak atau sedikit. Baginda sendiri amat menyintai amalan memberi dan bersedekah ini, hinggakan perasaan baginda yang begitu gembira sekali ketika bersedekah mengatasi kegembiraan mereka yang menerima sedekah baginda.

Dalam kitab "Zad al-Ma'ad", Ibnu al-Qayyim ada menyebut mengenai perihal sedekah Rasulullah s.a.w. ini, "Sungguh Nabi s.a.w. adalah orang yang sangat pemurah. Tangan kanannya, ketika memberikan sesuatu bagaikan hembusan angin yang sejuk. Hati baginda sentiasa terpanggil untuk membantu. Apabila baginda didatangi oleh orang yang meminta sesuatu, maka dengan penuh semangat baginda berusaha untuk memenuhi hajat orang yang meminta itu. Ada ketikanya baginda membantu dengan makanannya sendiri, ada ketikanya dengan memberi hadiah, ada ketikanya harus menjual sesuatu yang hasilnya baginda sedekahkan. Kadang-kadang baginda berhutang, kemudian hutang itu baginda kembalikan dengan bayaran lebih daripada harta yang baginda pinjam. Kadangkala juga dengan membeli sesuatu, tapi baginda membayar melebihi harga sebenar. Rasulullah s.a.w. juga kadangkala menerima hadiah, tetapi baginda membalasnya dengan sesuatu yang lebih berharga daripada hadiah itu, atau bahkan berlipat ganda daripada jumlah hadiah tersebut sebagai bentuk kasih sayang dan kepelbagaian dalam cara bersedekah. Sedekah yang baginda berikan boleh dengan sesuatu yang baginda miliki, atau boleh juga dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan."

Kemurahan hati Rasulullah s.a.w. dalam bersedekah ini sememangnya diakui oleh mereka yang pernah hidup bersama baginda. Antara mereka ialah Anas bin Malik r.a. yang pernah menceritakan bahawa Rasululullah s.a.w. selalu memberi (sesuatu) setiap orang yang bertanya kepada baginda tentang Islam. Pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., kemudian baginda hadiahkan kepadanya kambing yang banyak. Selepas lelaki itu kembali kepada kaumnya, dia berkata, "Wahai kaumku, peluklah agama Islam, kerana sungguh Muhammad s.a.w. telah menghadiahkan sesuatu kepadaku. Beliau sangatlah pemurah dan tidak pernah takut dengan kemiskinan." (Diriwayatkan oleh Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga tidak hanya memberikan semata-mata sedekah kepada fakir miskin, tetapi baginda turut memberikan kail kepada mereka agar kelak mereka dapat hidup berdikari dan tidak perlu lagi meminta-minta kepada orang lain. Seperti yang diceritakan oleh Anas r.a., suatu ketika ada seorang pengemis dalam kalangan Ansar datang meminta-minta kepada Rasulullah s.a.w. Baginda lalu bertanya kepada pengemis tersebut, “Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumahmu?” Pengemis itu menjawab, “Tentu, saya mempunyai pakaian yang biasa dipakai sehari-hari dan sebuah cangkir. Rasulullah s.a.w. lantas berkata, “Ambil dan serahkan cangkir tersebut kepada saya!”

Pengemis itu pun pulang mengambil satu-satunya cangkir miliknya dan kembali semula kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian dengan cangkir tersebut baginda membuat tawaran kepada para sahabat, “Adakah di antara kalian yang ingin membeli cangkir ini?” Seorang sahabat menyahut, “Saya ingin membelinya dengan satu dirham.” Rasulullah s.a.w. menawarkannya kembali, “Adakah di antara kalian yang ingin membayar lebih? Lalu ada seorang sahabat yang sanggup membelinya dengan harga dua dirham.

Selepas menjualnya dengan harga dua dirham, Rasulullah s.aw. memberikan wang tersebut kepada si pengemis lalu menyuruhnya menggunakannya untuk membeli makanan untuk keluarganya, manakala baki wang digunakan untuk membeli kapak. Rasulullah s.a.w. berkata, “Carilah kayu sebanyak mungkin dan juallah, selama dua minggu ini aku tidak ingin melihatmu.”  Sambil melepaskan pemergiannya Rasulullah s.aw. juga memberinya sejumlah wang sebagai perbelanjaan pengemis tersebut.

Dua minggu kemudian, pengemis itu datang semula berjumpa Rasulullah s.a.w. sambil membawa wang berjumlah sepuluh dirham hasil daripada penjualan kayu. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyuruhnya untuk membeli pakaian dan makanan untuk keluarganya seraya berkata, “Hal ini lebih baik bagi kamu, kerana meminta-meminta hanya akan membuat noda di wajahmu di akhirat nanti. Tidak layak bagi seseorang meminta-minta kecuali dalam tiga hal, fakir miskin yang benar-benar tidak mempunyai sesuatu, hutang yang tidak terbayar, dan penyakit yang membuat seseorang tidak mampu berusaha." (Riwayat Abu Daud)

Selain itu, begitu pemurahnya Rasulullah s.a.w. hinggakan sedekah baginda juga pernah ditujukan kepada orang bukan Islam yang sering menyakiti hati baginda. Dalam suatu kisah, di suatu sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya."

Namun, setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. melakukan hal ini setiap hari hingga baginda wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah s.a.w., tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Pada suatu hari, sahabat terdekat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.a. yang tidak lain adalah isteri Rasulullah s.a.w. Beliau bertanya kepada Aisyah r.a., Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?

Aisyah r.a. menjawab, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaan baginda pun yang belum ayah lakukan, kecuali satu saja. Apakah itu?,” tanya Abu Bakar r.a. Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana, kata Aisyah r.a.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis yang dimaksudkan. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis tersebut lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, “Siapa kamu?” Abu Bakar r.a. menjawab, “Aku orang yang biasa (mendatangi engkau).”

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” bantah si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku,sambung pengemis itu lagi.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, lalu beliau menangis sambil berkata kepada pengemis tersebut, “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.”

Mendengar penjelasan Abu Bakar r.a., pada ketika itu juga pengemis tersebut menangis dan kemudian berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, tapi ia tidak pernah memarahiku sedikit pun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia..” Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah di hadapan Abu Bakar r.a. dan sejak hari itu dia menjadi Muslim.

Nah, lihatlah kehebatan peribadi Rasulullah s.a.w. dalam hal bersedekah ini. Memang benarlah dalam diri baginda terdapat suri teladan yang baik, memandangkan baginda memerintahkan umatnya untuk bersedekah dengan cara memberikan contoh secara langsung. Malah, sifat Rasulullah s.a.w. seperti berlapang dada dan berhati mulia amat terserlah lantaran gemarnya baginda dalam bersedekah serta berbuat baik sama ada kepada kawan mahupun lawan.